Monday, September 28, 2009

SEJARAH AMAL

AMAL merupakan akronim kepada Persatuan Alumni Maahad Muhammadi negeri Kelantan. A.M.A.L adalah pada asalnya singkatan kepada Alumni Maahad Muhammadi Lilbanin/Lelaki. Namun, setelah digabungkan dengan MMP dan MMPP, 'AMAL' masih lagi dikekalkan bedasarkan singkatan ‘L’ boleh juga digunakan untuk Lilbanat.

Selain itu, maksud A.M.A.L itu sendiri ialah cita-cita dalam bahasa Arab. 'AMAL' mempunyai maksud yang sangat dalam jika dihayati dengan sepenuh hati. 'AMAL' bermaksud suatu cita-cita untuk menyatukan generasi Maahad dalam kesinambungan ukhuwwah yang berterusan, di bawah naungan Islam yang syumul, berpaksikan penerusan dakwah dan tarbiyyah yang tiada noktahnya, insyaALLAH.

AMAL digerakkan oleh beberapa lujnah iaitu Lujnah Hal Ehwal Sekolah, Lujnah Hal Ehwal Kampus, Lujnah Aktiviti, Lujnah Teknologi Maklumat & Penerbitan, Lujnah Ekonomi dan Lujnah Pembangunan & Penyelidikan.

KEAHLIAN AMAL : Sesiapa sahaja yang pernah belajar di Maahad (MML,MMP,MMPP) walaupun hanya tiga bulan berada di Maahad Muhammadi dan beragama Islam.

AMAL dimantapkan dengan pelbagai aktiviti dan program untuk adik-adik pelajar Maahad dan beberapa generasi alumni. Sehingga pertengahan tahun 2004, cadangan supaya mendaftar AMAL sebagai Badan Bukan Kerajaan – Non-Government Organisation (NGO) diterima dan dibahaskan. Pelbagai usaha dan perbincangan demi perbincangan dilakukan untuk memantapkan AMAL sebelum didaftarkan sebagai NGO.

Sehingga pada April 2005, permohonan AMAL telah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan - Registration of Society (ROS). InsyaALLAH dalam tempoh sebulan ini AMAL akan dinaik taraf sebagai NGO berdaftar. Dengan ini, banyak perkara akan dapat dipertingkat dan diperkemas sekaligus menyebarluaskan lagi AMAL kepada alumni Maahad bukan sahaja di Malaysia bahkan yang berada di seluruh dunia.

Sehingga sekarang AMAL boleh dikatakan telah wujud di semua kampus di Malaysia (yang ada alumni Maahad), dari matrikulasi sehingga ke kampus induk dan swasta. Malah telah diketahui kewujudannya di Al-Azhar Mesir, Queens University Belfast United Kingdom, universiti di Jepun, Jerman, Russia, Jordan, Ukraine, Damsyiq, Madinah, Indonesia dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, sumbangnya mereka dalam AMAL masih belum terserlah disebabkan keahliannya yang sedikit. Saya berharap supaya AMAL terus mengorak langkah memperkasa gerakannya, menjadi wadah kesinambungan ukhuwwah generasi Maahad secara lebih efektif ke arah membina kesatuan generasi rabbani dalam menggapai visi dan misi yang dihajati.

Mudah-mudahan, AMAL secara tidak langsung menjadi suatu tambatan akhirat, yakni pusat pelaburan saham akhirat kepada kita semua generasi Maahad dalam berganding bahu menyampaikan seruan Islam kepada seluruh masyarakat khususnya di Malaysia tercinta. Semoga sinar Islam kembali gemilang dan berada di puncak keagungannya yang sebenar.

Ingatlah, "Islam itu tinggi, dan tiada yang lebih tinggi daripadanya". “Dan berpegang teguhlah sekalian kamu kepada tali Allah (Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kapada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu, orang-orang Islam yg bersaudara” Surah Ali Imran : 103

WALLAHUA'LAM. ..::

UCAPAN RASMI DARI PENGERUSI AMAL :

Saudara Wan Muhammad Ruzaimin ::..