Wednesday, December 2, 2009
Meningkatkan Penggunaan Nanoteknologi
Oleh : Prof Dr. Saifollah Abdullah dan Dr. Mohamad Rusop
[ Pensyarah dan penyelidik Nanoteknologi di UiTM Shah Alam ]
ISU inovasi, penyelidikan dan pengkomersialan telah menjadi hangat pada suatu ketika dahulu. Ia timbul apabila pihak- pihak tertentu mempertikaikan tahap penyelidikan dan inovasi di Malaysia. Kerajaan juga menyedari bahawa banyak hasil penyelidikan dari pusat pengajian tinggi dan agensi penyelidikan tidak dapat dikomersialkan.
Hanya beberapa hasil penyelidikan yang telah dipatenkan digunakan oleh pihak industri bagi dikembangkan ke tahap industri manakala yang lain masih lagi didalam rak-rak simpanan tanpa permintaan dari pihak industri.
Sebenarnya isu ini dapat dilihat dan amat berkait berkait rapat dengan konsep Technology-push (tolakan-teknologi) dan Demand-pull (tarikan-permintaan).
Konsep tolakan-teknologi dalam keadaan ini merujuk kepada hasil-hasil penyelidikan yang belum atau telah dipatenkan dari pihak penyelidik dan cuba dikomersialkan melalui kerjasama pihak industri. Manakala tarikan-permintaan merujuk kepada permintaan pihak industri berdasarkan keperluan semasa dan akan datang dan meminta pihak penyelidik untuk membuat penyelidikan atas permintaan produk-produk tertentu.
Konsep ini mungkin dapat difahami secara am melalui dua dialog yang mudah yang menggambarkan maksud tolakan- teknologi dan tarikan-permintaan. “Bolehkah tuan komersialkan hasil penyelidikan dan inovasi nanoteknologi saya?” Dialog ini menggambarkan tolakan-teknologi manakala. “Boleh tak profesor. hasilkan satu produk nanoteknologi untuk meningkatkan hasil pertanian.” Ia menggambarkan dialog tarikan permintaan.
Nanoteknologi merupakan suatu perkataan yang dianggap masih baru di Malaysia walaupun telah diperkenalkan sejak awal tahun 1990-an dan idea nanoteknologi telah diutarakan lebih 50 tahun yang lalu, oleh seorang saintis, Richard P. Feynman. Ia merupakan kajian pada tahap atom iaitu pada ukuran satu per bilion meter.
Pada masa kini nanoteknologi dikategorikan sebagai tolakan-teknologi mungkin disebabkan ia masih baru, bagaimanapun ia kelihatannya akan menjadi tarikan-permintaan dalam masa yang terdekat ini.
Ia berdasarkan beberapa faktor yang menjadi dominasi teknologi ini, di antaranya adalah tahap kepercayaan dan penerimaan yang tinggi di kalangan pembuat dan pengguna, keupayaan menjanjikan produk yang sangat baik berbanding produk masa kini dan penyelidikan serta inovasi sejajar dengan permintaan.
Berdasarkan keyakinan inilah juga penggunaan produk-produk nanoteknologi akan digunakan sepenuhnya menjelang 2015 dan pada masa itu transformasi tolakan-teknologi kepada tarikan-permintaan diharap akan berlaku sepenuhnya.
Senario peralihan nanoteknologi dari tolakan-teknologi kepada tarikan-permintaan amatlah jelas di peringkat dunia dengan fokus penyelidikan dan perlumbaan dalam penghasilan produk diseluruh dunia yang diterajui oleh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, Korea, Taiwan dan negara-negara Eropah.
Berbilion ringgit telah dibelanjakan bagi membiayai penyelidikan, pembangunan dan inovasi dalam bidang nanoteknologi. Syarikat-syarikat besar telah melabur modal begitu banyak bagi penghasilan produk-produk seperti IBM, Hewlet-Peckatt, L’Oreal, Sony, Samsung dan lain-lain.
Adakah Malaysia sudah cukup bersedia untuk melakukan transformasi ini? Kita tidak mahu lagi isu-isu penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan timbul kembali dan yang melibatkan nanoteknologi pula. Pihak kerajaan haruslah bijak dalam membuat perancangan dalam bidang nanoteknologi.
Langkah-langkah mesti diatur bagi meningkatkan penggunaan dan permintaan produk nanoteknologi yang mana akan menjadikan faktor tarikan-permintaan nanoteknologi. Penyelidikan-penyelidikan nanoteknologi mesti mempunyai hala tuju yang jelas agar ia dapat digunakan sepenuhnya bagi manfaat pengguna.
Malaysia mestilah melihat bidang-bidang tumpuan dalam penyelidikan nanoteknologi yang mana kita mempunyai tahap permintaan yang tinggi untuk kegunaan tempatan misalnya nanoteknologi untuk kegunaan pertanian, nanoteknologi berasaskan hasil pertanian kita sendiri, nanoteknologi berasaskan herba bagi kegunaan makanan, minuman, kosmetik dan farmaseutikal.
Selain itu juga amat berpotensi dalam bidang perkhidmatan misalnya rawatan air, menangani alam sekitar dan industri makanan tempatan.
Kefahaman dan keyakinan rakyat Malaysia terhadap produk-produk nanoteknologi merupakan faktor yang amat penting untuk dilihat. Oleh itu penyebaran pengetahuan mengenai nanoteknologi haruslah dilakukan pada semua peringkat usia dan taraf kehidupan.
Nanoteknologi dijangka menyumbang peningkatan ekonomi berbilion ringgit. Oleh itu Malaysia harus memandang serius dalam usaha meningkatkan kefahaman, keyakinan dan penggunaan produk nanoteknologi terutamanya yang dihasilkan oleh penyelidik-penyelidik tempatan.
Kita mestilah berazam untuk membuat transformasi tolakan-teknologi kepada tarikan-permintaan dalam bidang nanoteknologi di Malaysia selari dengan perkembangan nanoteknologi sedunia.
Catatan Editor:// Rencana ini pernah tersiar di akhbar Utusan Malaysia pada 17/4/2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment